Isnin, 31 Disember 2012

Meja Tempahan Khas Menggunakan Kayu Terpakai

Kayu Terpakai yang Digunakan
Kami mendapat tempahan khas untuk membuat satu unit meja yang diperbuat dari kayu terpakai untuk Brainstorm Technologies Sdn Bhd. Kaki meja ini pula diperbuat dari batu-bata merah yang dibiarkan kelihatan (exposed). Kayu yang digunakan adalah kayu pelapik tilam yang dipilih sendiri oleh pemilik meja tersebut.
Jaring Exmat
Batu-bata yang akan digunakan ini telah diletakkan didalam pasir dan dijemur matahari serta dikenakan hujan selama beberapa hari bagi menjadikan batu-bata tersebut kelihatan telah terpakai.
Kaki Meja yang Telah Siap
Batu-bata ini disusun dengan bentuk 'ikat sembilan' dan satu jaringan exmat diletakkan diantara lapisan batu-bata tersebut untuk menguatkan ikatan simen kerana simen itu tidak menyaluti batu-bata itu sepenuhnya. Kebiasaanya, facing block digunakan bagi dinding yang dibina dengan konsep batu-bata yang kelihatan tetapi pemilik meja mahukan meja berkonsepkan industrial look, sebab itulah batu-bata merah biasa yang digunakan pada kaki meja ini.
Kayu Digosok dengan Kertas Pasir
Kayu pelapik tilam ini tidak diketam bagi mengekalkan rupa kayu terpakai. Ia telah digosok dengan kertas pasir bagi membuang selumbar dan melicinkan permukaan kayu tersebut.
Kayu Bingkai Pintu Lama
Kayu penyokong utama meja ini adalah kayu bingkai pintu lama yang tebalnya satu inci setengah. Kayu ini digunakan kerana kayu lama biasanya diperbuat dari kayu berkualiti tinggi dan kayu ini tidak dimakan oleh anai-anai.
Menyusun Kayu Pelapik Tilam
Kayu pelapik tilam yang telah digosok tadi disusun dan diselang-selikan supaya kelihatan cantik. Ia juga adalah untuk memastikan yang lebar dan tebal kayu itu sekata serta jumlah kayu yang digunakan mencukupi dengan meminimakan panjang kayu yang dipotong dan dibuang.
Bahagian Tepi Meja
Bahagian tepi kayu itu telah ditutup dengan papan skirting supaya meja itu kelihatan kemas.
Meluruskan Kaki Meja
Setelah kaki meja yang diperbuat dari batu-bata tadi itu kering, ia telah ditolak dan diluruskan. Benang telah digunakan untuk memastikan meja kaki meja tersebut lurus.
Meja yang Telah Disambungkan
Bahagian kayu dan batu-bata telah disambungkan dengan paku sepanjang dua inci ditanam pada permukaan simen yang masih basah. Paku-paku ini dipaku secara menyerong dipermukaan bawah kayu meja tersebut. Apabila simen itu mengeras, paku-paku yang serong ini akan memegang kaki meja tersebut dengan kuat.
Meja yang Sedang Disyelek
Akhir sekali, permukaan kayu itu disyelek dengan syelek kayu berwarna hitam supaya tona kayu kelihatan sekata. Ikuran meja yang telah siap ini adalah panjang tujuh kaki, lebar satu kaki setengah dan tingginya tiga kaki setengah.
Meja Tempahan Khas Menggunakan Kayu Terpakai yang Telah Siap

Related Posts with Thumbnails